Ahlan wa Sahlan

Ahlan wa Sahlan

30 Disember, 2009

Pejam celik, dah nak habis cuti sekolah.
Esok 31 hb 12, hari penting buat saya sekeluarga dimana anak saya humaidi akan masuk sekolah rendah. semua dah siap dari pakaian sekolah, alat tulis, yuran, borang utk pendaftaran. Pengalaman pertama menghantar anak masuk ke sekolah memang menarik. rasa jugak diri ini dah berumur. kena lah sedar diri sikit. harap Humaidi jadi insan baik, membesar dengan baik dan selamat di sekolah baru..
by.

10 Disember, 2009

mari ketahui metodologi Aliran Salafiah tentang ilahiyat

oleh : Ibnu Sulaiman al-Syarqawi


Kemunculan Mazhab Salafiah

Pada asalnya kalimah salaf adalah merujuk kepada tempoh masa tertentu . Ibrahim al-Baijuri di dalam kitabya Tuhfatul Murid menyatakan lafaz salaf adalah merujuk kepada mereka yang hidup sebelum kurun kelima Hijrah. Sementara itu Imam al-Ghazali di dalam Iljam al-Awwam menyatakan kalimah Salaf ialah golongan sahabat dan tabi’in. Pengertian Salaf sebagai suatu tempoh tertentu ini seharusnya juga diikat dengan mengikut al-Quran dan Sunnah pada nas dan ruhnya. Dengan ini mereka yang menyalahi pandangan al-Quran dan Sunnah bukanlah golongan salaf walaupun mereka hidup di zaman sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in. Oleh itu yang dimaksudkan dengan mazhab Salaf ialah sesuatu pegangan atau amalan para sahabat, tabiin serta tabi’ tabi’in yang telah diakui kepimpinan serta keilmuan mereka dalam agama seperti para imam mazhab yang empat, Sufyan al-Thauri, ibnu al-mubarak, al-Nakhai’i, al-Bukhari serta semua Ashab Sunan. (Mahmud Khafaji ,1979,hlm 20)

Adapun istilah Salafi yang dikenali pada dewasa ini, bukanlah satu mazhab yang khusus. Ia merupakan satu gerakan dakwah yang menyeru masyarakat supaya kembali mengikut petunjuk golongan salafus soleh. Seruan mereka ialah supaya masyarakat kembali berpegang dengan aqidah yang benar serta berusaha membersihkan konsep tauhid daripada unsur syirik.( Dr. Mani’ Bin Hammad, 2003 : hlm 160). Pun begitu mengikut petunjuk Salafus Soleh bukanlah bererti kita perlu mengikut setiap kalimah yang ucapkan atau tindakan yang diambil. Apa yang lebih penting ialah menjadikan mereka sebagai rujukan dalam metedologi penafsiran nas, cara mentakwilkannya, asas-asas ijtihad dalam hukum hakam. Mengikut Salafus Soleh dalam perkara-perkara tersebut merupakan kewajipan kepada setiap muslimin tidak mengira dikurun mana ia berada.( al-Buti, 1988 : hlm 12)

Mengikut Imam Muhammad Abu Zahrah (1996:hlm 190) Aliran Salafiah ini mula muncul pada kurun keempat Hijrah dengan dipelopori golongan mazhab Hanbali. Mereka mendakwa pandangan mereka adalah mengikut pendapat Imam Ahmad Bin Hanbal yang terkenal dengan ulama’ yang menghidupkan Sunnah dan memerangi yang lainnya. Pada kurun ketujuh Hijrah fahaman Salafiah ini muncul kembali dengan dipimpin oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiah. Beliau sangat keras dalam dakwahnya. Beberapa fahaman dan pandangan baru telah dicetuskan oleh Ibnu Taimah. sehingga membangkitkan perdebatan yang hangat antara ulama’. Selanjutnya pada kurun ke 12 Hijrah fahaman Salafiah ini telah tersebar di Semenanjung Tanah Arab yang dihidupkan oleh Muhammad Bin Abdul Wahhab. Sehingga ke hari ini Wahabiyyun (pengikut Muhammad Ibnu Wahhab) serta sebahagian ulama’ Islam terus menyebarkan faham Salafi ini.

Antara tokoh besar aliran Salafi ialah Ibnu Taimiah al-Harrani (meninggal 1328 M), Ibnu Qayyim al-Jauziah (meninggal 1350 M) serta Muhammad Bin Wahhab (meninggal 1791 M).

Manhaj Salafiah dalam Aqidah

1- Salafiah berpandangan sumber pengajian aqidah ialah nas al-Quran dan Sunnah. Ibnu Taimiah menjelaskan bahawa Allah S.W.T dan Rasulullah S.A.W. telah menjelaskan dengan penjelasan yang sempurna tentang setiap perkara yang perlu untuk manusia mengetahuinya dalam permasalahan iktikad umpama permasalahan tauhid, sifat-sifat, qadar kerana ianya adalah sebesar-besar perkara yang perlu disampaikannya kepada manusia. Kitab Allah yang disampaikan oleh para sahabat dan tabicin daripada Rasul S.A.W mengandungi perkara-perkara tersebut dengan sempurna .

2- Hujah akal yang terdapat di dalam al-Quran merupakan hujah yang menunjukkan kebenaran dengan jelas dan ringkas. Adapun hujah akal mutakallimin penuh kekeliruan dan percanggahan. Dalam hal ini Ibnu Taimiah menjelaskan ” Satu hujah yang kita dengar daripada satu kumpulan, pasti akan ada hujah daripada kumpulan yang lain untuk menentangnya. Kemenangan seseorang terhadap lawannya dalam berhujah terletak pada sejauh mana kemampuannya dan kepandaiannya dalam berdebat dan kalam. Adapun orang yang berpegang kepada dalil al-Quran dan Sunnah, mereka akan tetap teguh dengan hujahnya, tidak gentar dan goyah.

3- Menggunakan khabar Aahaad sebagai sumber pengetahuan aqidah. Mengikut pendapat ulama’ salaf setiap perkara yang Allah SWT dan Rasulnya SAW beritakan kepada kita dan ianya sampai kepada kita dengan jalan yang benar maka kita kita wajib beriman dan membenarkan perkara tersebut tanpa membeza-bezakan antara khabar ahad dan mutawatir. Ini bererti sekiranya sesuatu khabar itu adalah khabar yang sahih maka ia boleh dijadikan hujah dalam aqidah tidak kira sama ada khabar tersebut mutawatir ataupun tidak. (Khafaji,2000:23-37)


Konsep Ilahiyyat pada Salafiah

Dalil Kewujudan Allah

Seperti yang telah dijelaskan Salafiah berfahaman bahawa di dalam al-Quran sudah terdapat hujahan akal yang nyata dan jelas serta boleh difahami oleh setiap manusia. Dalam membicarakan dalil kewujudan Allah kita mendapati Salafiah menyatakannya dalam dua bentuk.

1- Kewujudan Allah adalah satu fitrah yang sudah terdapat di dalam diri manusia. Fitrah yang sejahtara yang suci dari noda akan menyatakan wujudnya Allah tanpa memerlukan kepada dalil atau bukti. Bahkan ia juga akan mengakui ketauhidan Allah tanpa perlu kepada hujah atau dalil kerana ia adalah fitrah semulajadi manusia seperti mana firman Allah :

Maksudnya: Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang Telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. tidak ada peubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-Quran,al-rum 30:30)
Demikian juga terdapat ayat-ayat yang Allah nyatakan dalam bentuk iftifham inkari (pertanyaan untuk menafi) umpamanya firman Allah :

Maksudnya: Atau siapakah yang Telah menciptakan langit dan bumi dan yang menurunkan air untukmu dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air itu kebun-kebun yang berpemandangan indah, yang kamu sekali-kali tidak mampu menumbuhkan pohon-pohonnya? apakah disamping Allah ada Tuhan (yang lain)? bahkan (sebenarnya) mereka adalah orang-orang yang menyimpang (dari kebenaran).

Ibnu Taimiah (1986,minhaj sunnah:jld.2,hlm.202) menjelaskan bahawasanya semua ayat-ayat tersebut meletakkan manusia dihadapan persoalan-persoalan yang tiada jawapan lain melainkan mengaku dan menerima bahawa wujudnya pencipta alam. Selain itu Ibnu Qayyim (1955, Madarij al-salikin:jld.1,hlm.60) juga menyatakan bahawasanya kewujudan tuhan lebih nyata bagi akal dan fitrah daripada wujudnya siang

2- Pembuktian wujud Allah dengan dalil.

Dalam bentuk yang kedua ini kita mendapati ibnu Taimiah (Aqidah Tadammuriah:hlm 11) menggunakan kewujudan alam ciptaan yang luas ini sebagai tanda wujudnya Allah SWT, dimana beliau menyatakan ” sesungguhnya setiap perkara di alam ini adalah tanda kewujudan Allah, kerana alam ini memerlukan Allah untuk wujud. Apabila adanya alam ini tentulah ada penciptanya kerana setiap yang baru mesti ada penciptanya, sepertimana firman Allah :

Maksudnya: Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatupun ataukah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri)?

Mengikut Ibnu Taimiah lagi, kedua-dua bentuk pembuktian ini iaitu pembuktian fitrah dan tanda-tanda alam mempunyai kaitan yang rapat. Pembuktian melaui fitrah adalah asas kepada pembuktian yang kedua. Ini kerana apabila seseorang itu telah mengakui wujudnya pencipta maka dia akan mengetahui bahawasanya alam ini adalah ciptaannya.

Berdasarkan ayat-ayat al-Quran tanda-tanda kewujudan Allah ini dapat dibahagikan kepada kepada beberapa jenis.

A) Dalil penciptaan (دليل الاختراع و الخلق )

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyeru manusia supaya beriman dengan kewujudan Allah SWT dengan menggunakan penelitian akal dan berfikir pada kejadian ciptaan Allah SWT. Fikiran yang waras akan mengatakan setiap ciptaan mesti ada penciptanya. Firman Allah SWT : Maksudnya : Maka hendaklah manusia memperhatikan dari apakah dia diciptakan?. Dia diciptakan dari air yang dipancarkan. (al-Quran, al-Thariq 86:5-6)

Antara ayat lain seperti firmannya :
Maksudnya : Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta bagaimana dia diciptakan. Dan langit, bagaimana ia ditinggikan?. Dan gunung-gunung bagaimana ia ditegakkan?. Dan bumi bagaimana ia dihamparkan? (al-Quran,al-Ghasyiah 88:17-19)


b) Dalil I’nayah ( دليل عناية )

Dalil ini menyatakan bahawasanya ciptaan alam yang penuh dengan keajaiban ini menunjukkan wujudnya I’nayah atau pentadbiran Allah atasnya. Antara ayat yang menunjukkan I’nayah Allah SWT seperti :

Maksudnya : Apakah kamu tidak memperhatikan (penciptaan) Tuhanmu, bagaimana dia memanjangkan (dan memendekkan) bayang-bayang dan kalau dia menghendaki niscaya dia menjadikan tetap bayang-bayang itu, Kemudian kami jadikan matahari sebagai petunjuk atas bayang-bayang itu, Kemudian kami menarik bayang-bayang itu kepada kami[1069] dengan tarikan yang perlahan-lahan. (al-Quran,al-Furqan 25:45-46)
Sementara itu Ibnu Rushd menyatakan bahawasanya terdapat juga ayat-ayat al-Quran yang mengandungi kedua-dua dalil ini iaitu dalil penciptaan dan inayah . Umpamanya firman Allah SWT :

Maksudnya : Hai manusia, sembahlah Tuhanmu yang Telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa,Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezki untukmu; Karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu Mengetahui.

Penghujahan terhadap wujudnya Allah menggunakan penciptaan manusia menurut Ibnu Taimiah adalah penghujahan yang paling baik. Ianya merupakan metodologi logic (akal) yang benar serta syari’( شرعي ) kerana diterangkan dengan jelas oleh al-Quran. (Khafaji,2000:148-163)

Sifat-sifat Allah

Secara umumnya Salafiah menegaskan bahawasanya sifat-sifat Allah adalah sepertimana yang telah disebutkan di dalam al-Quran dan Sunnah. Ini kerana semua sifat-sifat tersebut adalah sifat-sifat kesempurnaan yang selayaknya ada pada Allah SWT. Sesungguhnya tiada yang layak untuk menerangkan sifat-sifat Allah melainkan Allah SWT. Sendiri, serta tiada manusia yang lebih mengetahui tentang Allah melainkan Rasulullah SAW.

1- Sifat Allah itu Qadim ( tiada permulaan)

Salafiah menyatakan bahawasanya semua sifat-sifat Allah adalah qadim. Ibnu Abi al-cIz (1985:hlm.75) di dalam kitab Syarah Tohawiyah menyatakan ” Sesungguhnya Allah SWT. Sentiasa bersifat dengan sifat kesempurnaan, sifat zat dan sifat perbuatan. Maka tidak benar jika seseorang itu beriktikad bahawasanya Allah bersifat dengan satu sifat yang belum Allah bersifat dengan dengannya sebelumnya. Ini kerana sifat-sifat Allah adalah sifat kesempurnaan, sedang tidak bersifat dengan sifat tersebut adalah kekurangan. Maka tidak tidak boleh berlaku di mana Allah memperoleh kesempurnaan sedang sebelumnya Allah bersifat dengan kekurangan.

Walaupun demikian, bagi Ibnu Taimiah (1986, Minhaj Sunnah,jld.2,hlm.296) sifat Allah yang qadim tidak menghalang berdirinya hawadis ( benda baharu) pada zat Allah SWT. Beliau menjelaskan bahawasanya sifat-sifat Allah itu qadim, namun ada diantaranya yang qadim al-jins tetapi hadis al-aahad ( قديم الجنس, حادث الآحاد ) bermakna terdapat sifat yang qadim tetapi berlaku pembaharuan pada zat Allah dari segi ahaadnya umpama sifat ilmu, sama’ , basar dan kalam. Keadaan ini berlaku pada satu masa tertentu seperti yang disebut di dalam hadis syafacah yang bermaksud ” Sesungguhnya tuhanku telah murka pada hari ini, tidak pernah dia murka seumpama itu sebelum ini dan selepas ini”. Keadaan yang seumpama ini tidak mustahil berlaku dan tidak dikatakan ianya berlaku selepas ianya tidak berlaku.

2- Sifat Allah berdiri pada zat

Salafiah berpandangan bahawasanya sifat-sifat Allah berdiri pada zat Allah SWT. Ini kerana sifat tidak boleh berdiri sendiri, sifat mesti berdiri pada mausuf-nya. Mereka juga beriktikad bahawasnya sifat Allah tidak boleh berdiri pada zat yang lain yang lain dari zat Allah.(ibnu Taimiah 1986, minhaj sunnah, jld 2 hlm 479)

3- Sifat Allah bukan zatnya (الصفات زائدة على الذات )

Dalam hal ini Salafiah berpandangan bahawasanya sifat-sifat ketuhanan adalah makna-makna yang berdiri pada zat Allah, sifat itu bukan zat. Kerana sudah diketahui bahawasanya tidak dikatakan seseorang itu berilmu melainkan ada padanya ilmu, tidak katakan seseorang itu berkuasa sekiranya dia tiada kuasa , demikianlah dengan sifat-sifat yang lain.( Ibnu Taimiah,1986:hlm.288).

Selain itu kita juga mendapati Salafiah menentang sekeras-kerasnya pendapat golongan yang menafikan sifat seperti Muktazilah di mana mereka menyatakan bahawasanya zat tanpa sifat merupakan suatu khayalan, hanya ada di dalam fikiran tetapi tidak wujud dalam alam realiti.(Ibnu Taimiah,1986,hlm.290) Wujud zat melazimi wujudnya sifat pada zat tersebut, dan demikianlah sebaliknya wujud sifat melazimi wujudnya zat untuk sifat itu wujud

Sifat Khabariah

Permasalahan sifat khabariah merupakan antara permasalahan yang begitu serius dibincangkan antara ulama’ Ilmu Kalam dan ahli falsafah Islam. Demikian juga kita mendapati tajuk sifat khabariah adalah tajuk yang cukup diberi perhatian oleh ulama’ Salafi sehingga menjadi punca perdebatan hangat antara mereka dengan golongan yang yang lain.

Secara umumnya mazhab Salafi dan permasalahan ayat-ayat sifat khabari ialah mengisbatkan sifat-sifat tersebut, tanpa melakukan takwil. Mereka memahami ayat-ayat sifat tersebut dengan makna yang hakiki bukan dengan makna yang majazi. Ibnu Taimiah menjelaskan bahawasanya Ahlu Sunnah bersepakat mengisbatkan sifat-sifat Allah yang disebut di dalam al-Quran dan Sunnah serta beriman dengannya, memahaminya dengan makna hakiki bukan majazi, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak memperincikan bagaimana sifat tersebut. Di dalam kitab Aqidah Isfahaniah (1986:hlm 8) Ibnu Taimiah menukilkan bahawasanya golongan salaf dan imam-imamnya telah bersepakat menyifatkan Allah SWT dengan sifat-sifat yang Allah sifatkan dirinya di dalam al-Quran dan melalui pesuruhnya Nabi Muhammad tanpa tahrif ( تحريف ), tanpa tactil (تعطيل ), tanpa takyif (تكييف ) dan tanpa tamsil (تمثيل ), kerana sesungguhnya telah diketahui pekara tersebut dengan syara’ dan akal bahawasanya Allah SWT tidak seumpamanya sesuatu pun, sama ada pada zat, pada sifat dan pada perbuatannya sepertimana firman Allah :

Maksudnya : tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha mendengar dan Melihat. ( al-Quran, al-Syuura 42:11)

Umpamanya Firman Allah S.W.T. :
Maksudnya : Dia. tiap-tiap sesuatu pasti binasa, kecuali wajahnya (Allah). (al-Quran, al-Qashas 28:88)

Atau firman Allah S.W.T.
Maksudnya: Dan tetap kekal wajah (Dzat )tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan. (al-Quran, al-Rahman 55:27).

Pandangan Salafi terhadap dua ayat di atas ialah memahaminya secara zahir ayat tersebut. Bagi mereka, ayat tersebut mengisbatkan satu sifat pada Allah iaitu sifat wajah bagi Allah. Akan tetapi wajah Allah itu tidaklah menyerupai wajah-wajah makhluk. (Khafaji,2000:hlm. 327)

Imam Muhammad Abu Zahrah (1996, hlm196-197) membuat sedikit komentar dalam permasalahan ini di mana beliau menyatakan ” Sesungguhnya Ibnu Taimiah telah memutuskan bahawasanya pandangan mazhab Salaf dalam permasalah sifat khabariah ialah mengisbatkan semua sifat khabariah yang terdapat di dalam al-Quran seperti فوقية (atas), تحتية (bawah), استوء على العرش (bersemayam di arash), وجه (berwajah), يد (tangan), محبة (suka), بغض (benci). Demikian juga dengan perkara yang terdapat di dalam Sunnah, mereka memahaminya tanpa takwil dan berpegang dengan zahir kalimah. Persoalannya, adakah ini mazhab Salaf yang sebenar? Jawapan kami ; sesungguhnya perkara tersebut telah berlaku sejak kurun keempat Hijrah lagi, mereka juga mendakwa, itulah aqidah yang dipegang oleh mazhab salaf. Namun para ulama’ ketika itu (iaitu kurun keempat Hijrah) telah melakukan perbincangan dan mereka mendapat fahaman tersebut boleh membawa kepada tashbih (menyamakan Allah degan makhluk) serta menisbahkan jisim pada Allah SWT. Dengan sebab itu Imam al-Khatib ibnu al-Jauzi al-Hanbali di dalam kitabnya دفع التشبيه menafikan dengan sekeras-kerasnyanya fahaman tersebut adalah fahaman Salaf serta fahaman Imam Ahmad Bin Hanbal. Ternyata fahaman tersebut tidak dipersetujui oleh kalangan ulama’ Hanabilah sendiri dan keadaan ini telah menimbulkan suasana tegang antara mereka.Oleh sebab itu fahaman Salafi ini telah lenyap selepas itu sehinggalah dihidupkan kembali oleh Ibnu Taimiah pada kurun ketujuh Hijrah.

Qada’ dan Qadar

Beriman dengan Qada’ dan Qadar merupakan sebahagian daripada rukun iman. Kewajipan beriman dengan Qada’ dan Qadar Allah adalah rentetan daripada keimanan terhadap kesempurnaan sifat Qudrah dan Iradah Allah SWT. Sesungguhnya Allah lah yang menciptakan manusia dan dialah yang menciptakan segala kekuatan yang ada pada manusia. Perlakuan setiap insan adalah dengan Qudrah dan Iradah Allah SWT jua. Demikianlah Ibnu Taimiah menjelaskan bahawasanya mazhab Salaf ialah beriktiqad bahawasa Allah lah yang menciptakan semua perkara. Dialah yang menciptakan manusia dengan sifat هلوعا dan جزوعا apabila ditimpa kejahatan, dan apabila menerima kebaikan منوعا . Manusia mempunyai masyiah, qudrah dan iradah dan manusia melakukan perbuatan secara hakiki.

Walaupun Ibnu Taimiah mengisbatkan umumnya Qudrah Allah S.W.T., namun beliau juga mengisbatkan qudrah manusia. Dalam hal ini, fahaman Ibnu Taimiah dapat disimpul dalam tiga perkara:

1- Allah menciptakan semua perkara, dan tiada sesuatu pun yang dapat berlaku di alam ini tanpa kehendaknya.
2- Manusia melakukan perbuatannya sendiri. Manusia diberikankan iradah (kehendak) yang sempurna sehingga menjadikannya bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukannya.
3- Sesungguhnya Allah SWT. Menghendaki perbuatan baik, Allah redha dan suka perbuatan tersebut. Adapun perbuatan jahat, Allah izinkannya tetapi tidak meredhainya dan tidak menyukainya.

Imam Muhammad Abu Zahrah (1996,hlm.203) menjelaskan bahawasanya fahaman salafiah dalam permaslahan Qada’ dan Qadar adalah perantaran antara fahaman Muktazilah dan Asya'irah. Secara umumnya pegangan tersebut sangat hampir dengan pegangan mazhab Maturidi, di mana mereka sekata mengatakan bahawa Allah SWT mencipta pada diri makhluk qudrah (kekuatan) dan dengan qudrah tersebut perbuatan makhluk dapat memberi bekas atau kesan. Adapun perbezaan antara kedua-dua mazhab ini ialah pada Ibnu Taimiah ”keberkesanan perbuatan makhluk” adalah pada perbuatan itu sendiri, sedang Maturidi pula berpendapat keberkesanan perbuatan makhluk adalah pada kekuatan yang diletakkan oleh Allah SWT. pada diri makhluk itu

Af'al Allah S.W.T.

Mengenai Af'al Allah, Ibnu Taimiah menjelaskan bahawasanya Allah SWT menciptakan makhluk, lalu menyuruhnya melakukan perintah-perintah dan meninggalkan segala larangan-larangan disebabkan terdapatnya hikmah-hikmah yang baik. Beliau menyatakan bahawasanya inilah pendapat seluruh orang Islam dan bukan Islam, juga pandangan sebahagian ulama’ Hanafi, Maliki dan Syafici , serta sebahagian ulama’ kalam.

Mengenai persoalan adakah Allah SWT. memperbuat suatu yang qabeh (keji) dan zalim, Ibnu Taimiah menjelaskan (Minhaj Sunnah, 1986, hlm 295 ) bahawa seluruh ulama’ Islam bersepakat mengatakan bahawa Allah SWT tidak melakukan sesuatu yang keji dan zalim. Namun berlaku perbezaan pendapat tentang penafsiran perkara tersebut dari segi sekiranya Allah menciptakan perbuatan manusia adakah boleh dikatakan Allah melakukan perbuatan keji, atau tidak boleh dikatakan demikian? . Mazhab Ahlu Sunnah yang mengisbatkan Qadar mengatakan tidak boleh dikatakan demikian (iaitu Allah melakukan zalim dan melakukan perbuatan keji). Ibnu Taimiah menjelaskan, pandangan Ahlu Sunnah ini dengan mengatakan bahawasanya keadaan sesuatu perbuatan itu keji dari pelakunya tidak bererti perbuatan itu keji dari penciptanya (Allah). Contohnya Allah menciptakan perlakuan makan dan minum bagi seseorang tidak bererti Allah makan dan minum. Demikian juga sebagai contoh apabila Allah menciptakan pada satu makhluknya dengan bau yang busuk, maka yang bersifat dengan busuk itu ialah makhluknya, bukan Allah. SWT.

Kesimpulannya, pada mazhab Salafi mereka berpendapat bahawa Allah S.W.T. melakukan sesuatu perbuatan kerana hikmah tertentu dan kerana kemaslahatan hambanya. Disamping itu perbuatan Allah juga adalah bersih dan suci daripada sebarang bentuk perbuatan yang sia-sia yang tidak memberi manafaat kepada hambanya. Namun, mereka tidak pula mewajibkan sesuatu pada perbuatan Allah sepertimana mazhab Muktazilah.


Rukyatu Allah S.W.T

Sabda Rasulullah S.A.W. :

إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ الْقَمَرَ لَيْلَةَ الْبَدْرِ ، لَا تُضَامُونَ فِي رُؤْيَتِهِ ، فَإِنِ اسْتَطَعْتُمْ أَلَّا تُغْلَبُوا عَلَى صَلَاةٍ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَصَلَاةٍ قَبْلَ غُرُوبِهَا ؛ فَافْعَلُوا » ، مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ .

Maksudnya : Sesungguhnya kamu akan melihat tuhan kamu seperti mana kamu melihat bulan di malam bulan penuh. Kamu tidak akan bersesak untuk melihatnya. (al-Hadis, Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan kepada hadis di atas Ibnu Taimiah ( ) menjelaskan di dalam Syarah al-Aqidah al-Wasitiah bahawa hadis yang sahih lagi mutawatir ini membuktikan bahawa orang-orang beriman akan melihat Allah SWT di syurga. Berdasarkan nas daripada ayat al-Quran dan Hadis ini ianya memberi faham dua perkara :

1- Ketinggian Allah S.W.T. daripada makhluk-makhluknya, kerana dengan jelas disebut ”mereka melihatnya dari atas mereka”.

2- Sesungguhnya sebesar-besar nikmat syurga ialah dapat melihat wajah Allah al-Karim.

Sungguhpun pendapat Salafiah dalam perkara ini adalah sama dengan semua mazhab-mazhab dari golongan Ahlu Sunnah wa al-Jamah, namun terdapat sedikit perbezaan antara mereka tentang persoalan adakah Allah S.W.T. berjihah (mempunyai arah) ketika orang mukmin melihatnya?. Menjawab persoalan ini golongan Salafiah dengan jelas menisbahkan jihah atas pada Allah kerana telah disebut dengan jelas di dalam nas hadis dan ianya bertepatan dengan prinsip mereka yang berpegang dengan zahir nas.

Pendapat ini sedikit berbeza dengan pendapat yang mashur di kalangan Asya'irah yang menyatakan bahawasanya rukyah (melihat Allah ) itu berlaku sedang Allah S.W.T. tidak berjihah, bukan arah kanan, juga bukan kiri, tidak di atas dan tidak di bawah. ( Ibnu Taimah,1986,Minhaj Sunnah :hlm.326)

08 Disember, 2009

hari ini merupakan hari pertama saya mencuba membina blog sendiri.. Insya Allah dari masa ke semasa akan saya hiaskan blog ini dengan perkara yang berfaedah.

Kenali Syeikh Ahmad al-Fatani..

Disediakan Oleh: Ibnu Sulaiman.

Walaupun saya bukanlah keturunannya namun saya amat berbangga dengannya. Setelah sekian lama saya mengkaji tentangnya terbuku di mata hati saya dialah idola saya, juga sewajarnya menjadi idola jenerasi kini yang sebangsa dan seagama dengan saya. Nama penuh permata kebanggaan ulama’ Nusantara ini ialah Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zain Bin Wan Mustafa al-Fatani. Menurut Ahmad Fathi al-Fatani (2001: 55) Syeikh Ahmad al-Fatani berasal dari keturunan para muballigh agama Islam yang datang dari Hadhramaut. Dikatakan bahawa nasab silsilahnya bertalian dengan Saidina Abbas Bin Abdul Mutalib, bapa saudara Rasulullah S.A.W. Wan Mohd Shaghir Abdullah pula (2005:13), yang juga cucu kepada Syeikh Ahmad al-Fatani pula menyatakan bahawa, nama lengkap Syeikh Ahmad al-Fatani ialah: Wan Ahmad Bin Wan Muhammad Zainal Abidin Bin Datu Panglima Kaya Syeikh Haji Wan Mushthafa Bin Wan Muhammad Bin Wan Muhammad Zainal Abidin (Faqih Wan Musa al-Jambui al-Sanawi al-Fatani) Bin Wan Muhammad Shalih al-Laqihi Bin Ali al-Masyhur al-Laqihi. Walau bagaimanapun, menurut Wan Shaghir lagi, nasab yang sahih dan ditahqiq dari Syeikh Ahmad al-Fatani sendiri ialah: Ahmad Bin Zainal Abidin Bin Haji Wan Mushthafa Bin Wan Muhammad Bin Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fatani. Jika diteliti, asal usul nasab Syeikh Ahmad merupakan golongan ulama’ yang mashur. Datuk beliau Syeikh Mustafa Bin Muhammad (meninggal 1863 M) merupakan seorang ulama’ masyhur pada zamannya. Beliau juga merupakan salah seorang hulu balang Sultan Fatani Darus Salam. Selepas tentera Raja Patani kalah perang dan dijajah bangsa Siam, beliau membuka pondok pengajian di Kampung Sena Janjar, dalam kawasan kampung Sena, daerah Jambu. Dikatakan beliau mendapat ‘pembukaan’ dari Allah dengan diperlihatkan air telaganya melimpah keluar pada suatu malam akhir Ramadan, yang beliau fahami sebagai petanda malam Lailatu al-Qadar. Beliau telah berdoa pada sisi telaga itu agar empat orang anak lelakinya menjadi ulama’ dan setiap zuriat daripada anaknya itu, ada yang menjadi ulama’ sampai ke hari Qiamat. Empat anak lelakinya telah menjadi ulama terbilang. Anak pertamanya, Syeikh Muhammad Zain, ayah kepada Syeikh Ahmad al-Fatani. Anak keduanya, Syeikh Abdul Qadir, yang dikenali sebagai Tok Bendang Daya II. Anak beliau yang ketiga pula ialah Syeikh Wan Abdul Latif telah bergiat di Bangkok, sementara anak yang keempat ialah Syeikh Wan Daud yang menjadi guru di Makkah (Wan Shaghir 2005: 25-27). Ayah Syeikh Ahmad al-Fatani pula, iaitu Syeikh Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fatani (meninggal 1908 M), kemudian disingkatkan dengan Syeikh Muhammad Zain juga merupakan ulama’ yang tersohor. Aktiviti sepanjang hayatnya ialah mengajar di Pondok Sena Janjar dan kemudian mengajar pula di Makkah. Syeikh Muhammad Zain juga telah menghasilkan beberapa karangan, antaranya sebuah perbahasan tentang haji dan sebuah lagi membicarakan Tharikat Syathariyah. Antara murid beliau yang terkenal ialah Dato’ Abdullah Bin Musa (meninggal 1907 M) yang pernah menjawat jawatan Mufti dan Hakim Besar Kerajaan Johor. Ibu Syeikh Ahmad pula adalah berketurunan daripada Syeikh Shafiyuddin yang berasal daripada keturunan Sayyidina Abbas Bin Abdul Mutallib, iaitu bapa saudara Rasulullah S.A.W.. Menurut riwayat, Syeikh Shafiyuddin berasal dari Pasai (Aceh). Dari catatan keturunannya beliau berketurunan Khalifah al-Muctasim Billah dari keluarga Bani Abbasiah. Datuk neneknya datang ke Pasai untuk menyebarkan Islam. Syeikh Shafiyudin datang ke Paya Patani pada tahun 1400 Masihi untuk menyebarkan Islam dan telah berjaya mengislamkan Raja Antira di Patani. Semua catatan sejarah Patani menceritakan peristiwa tersebut. Beliau juga digelar Dato’ Seri Raja Faqeh. Syeikh Shafiyuddin juga telah mengarang beberapa buah kitab dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Antaranya ialah kitab ’Tarikh Patani’ dalam bahasa Arab, dan ’Kitab Sia-Sia Berguna’ sebuah kitab perubatan (Wan Shaghir,2005: 33-34). 3.2.2 Kelahiran Syeikh Ahmad al-Fatani Syeikh Ahmad al-fatani dilahirkan pada malam Jumaat 5 Syaaban 1272 Hijrah bersamaan 10 April 1856 Masihi di kampung Jambu, Fatani (Ahmad Fathi,2001: 55). Beliau sendiri telah menulis tentang kelahirannya di dalam kitabnya Hadiqat al-Azhar (1321 H:178-179) dengan menyebut: (Faedah) Diperanakkan Ahmad Bin Muhammad Zain Bin Mustafa Bin Muhammad Fatani pada malam jumaat waktu jendera budak 5 haribulan Syaaban daripada tahun 1272, tahun ular besar pada bulan 5 daripadanya dengan istilah Siam pada hari yang keenam daripada bulan yang keenam pada istilah Melayu dan tempat beranaknya pada kampong Jambu, negeri Jerim daripada bumi Patani dan mansya’nya kampong Jambu itu dan Kampong Sena Janjar. Menurut Wan Shaghir (2005:37-38) terdapat berbagai-bagai cerita mitos tentang kelahiran Syeikh Ahmad al-Fatani. Antaranya ialah tentang ibunya yang bermimpi melihat isi ubi bertimbun-timbun, lalu dengan serta merta semuanya pecah berderai. Di mana saja tempat jatuhnya pecahan ubi tersebut maka akan tumbuh ubi yang baru pula. Mimpi ini terjadi pada tiga malam Jumaat berturut sebelum kelahiran Syeikh Ahmad al-fatani. Ibu Syeikh Ahmad bertemu alim ulama’ untuk mengetahui tafsiran mimpi tersebut. Alim ulama’ menta’birkan bahawa anak yang dikandung itu akan membawa rahmat dan ahli ilmu. Ilmu yang berasal daripadanya akan berkembang lagi. Di mana saja muridnya pergi maka mereka dapat menyebarkan ilmu yang berasal daripadanya. Tiba-tiba pada malam Jumaat berikutnya, lahirlah anak yang dikandung itu iaitu Syeikh Ahmad al-Fatani. 3.2.3 Kewafatan. Syeikh Ahmad al-Fatani menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 11 Zulhijjah 1325 H bersamaan 14 Januari 1908 M di Mina dalam usia 52 tahun. Jenazahnya dibawa ke Makkah dan disemadikan di perkuburan Ma’ala, Makkah al-Mukarramah. Kuburnya terletak di bawah kaki Siti Khadiah R.A, Ummu al-Mukminin, isteri pertama Rasulullah SAW (Wan Shaghir, 2005:117) 3.3 PENDIDIKAN Pada mulanya Syeikh Ahmad al-Fatani dididik oleh bapanya sendiri iaitu Haji wan Muhammad Zain atau juga dikenali dengan Wan Din Bin Syeikh Wan Mustafa. Selepas itu beliau berguru pula dengan bapa saudaranya Syeikh Wan Mustafa yang terkenal dengan gelaran ’Tok Guru Bendang Daya II’ merupakan seorang guru pondok yang sangat terkenal di Patani pada pertengahan kedua abad kesembilan belas Masihi (Ahmad Fathi:55). Selanjutnya, ketika berusia empat tahun beliau telah dibawa oleh ayahandanya dan ibundanya menetap di Makkah. Mengikut catatan Syeikh Abdullah Mirdad pula, ketika itu beliau berusia enam tahun. Ketika di Makkah, beliau belajar pula dengan para ulama’ Makkah. Mengikut keterangan Syeikh Abdullah Mirdad (1978) Syeikh Ahmad Ahmad al-Fatani telah menghafaz al-Quran dan beberapa matan. Antara guru yang sering beliau dampingi ialah Sayyid Umar al-Syami al-Buqaciy, dengannya beliau mendalami pelbagai disiplin ilmu seperti bahasa Arab, usuluddin, tafsir, hadis, feqah, macani, bayan, carudh dan lain-lain lagi. Dalam usia yang masih muda beliau telah diijazahkan dan diizinkan mengajar. Beliau merupakan seorang guru yang alim, juga seorang penyair. Wan Shaghir (2005) mengatakan bahawa ketika di Makkah Syeikh Ahmad al-Fatani tidak menampakkan diri sebagai seorang anak yang rajin belajar, dia belajar secara sembunyi-sembunyi. Dengan demikian kedua-dua orang tuanya mula rasa resah jika hal demikian berterusan. Namun, keadaan tersebut terubat apabila ibu bapanya mendapati beliau dapat menjawab pelbagai soalan yang diajukan dan dapat menghafaz matan-matan melebihi kawan-kawannya yang lain. Ketika berumur dua belas tahun beliau telah sanggup mengajar ilmu nahwu dan saraf kepada orang dewasa. Selanjutnya Syeikh Ahmad al-Fatani telah berangkat ke Baitu al-Maqdis untuk menimba ilmu. Diriwayatkan, beliau telah meminum air kencingnya sendiri kerana ketiadaan air minuman ketika perjalanan tersebut. Di Baitu al-Maqdis, beliau telah mempelajari ilmu perubatan dan ilmu-ilmu agama dengan ulama’ di sana. Setelah dua tahun menimba ilmu di Baitu al-Maqdis, beliau pulang ke Makkah. Namun kedua ibu bapanya agak terkejut kerana dalam kehidupan seharian beliau tidak kelihatan seperti seorang ulama’, sebaliknya seorang tabib yang hanya mahir dalam membuat berbagai-bagai jenis ubat-ubatan. Lantas, ayahandanya menyuruhnya memperdalamkan lagi ilmu pengetahuan agama agar menjadi seperti ulama’-ulama’ lampau Fatani Dar al-Salam seperti Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fatani. Harapan ayahandanya itu ternyata telah menyentuh lubuk hatinya, lantas beliau berangkat menuju Mesir kerana ketika itu Al-Azhar di Mesir cukup terkenal sebagai pusat ilmu pengetahuan Islam (Wan Shaghir: 41-43). Syeikh Ahmad al-Fatani merupakan antara golongan pertama anak melayu yang diterima masuk belajar di Universiti al-Azhar lebih dikenali pada ketika itu dengan ”Masjid Jami’ al-Azhar” . Al-Azhar pada ketika itu sedang dalam proses peralihan dari sistem tradisional kepada sistem pendidikan moden. Disebabkan beliau seorang sahaja dari Dunia Melayu yang menuntut di situ, beliau telah berusaha memperkenalkan dunia Melayu kepada tokoh-tokoh penting di universiti tersebut dengan tujuan memudahkan pelajar-pelajar daripada negeri Melayu dapat memasuki al-Azhar dikemudian hari. Selain itu Syeikh Ahmad al-Fatani telah memperkenalkan ”Ruwwaq al-Jawi” juga di al-Azhar ditengah-tengah ruwwaq-ruwwaq yang lain.Walaupun keseorangan namun beliau tetap menggunakannya. Setelah beliau pulang ke Makkah, barulah anak-anak Melayu makin ramai menjadi mahasiswa al-Azhar. Mereka semuanya adalah murid Syeikh Ahmad al-Fatani yang diutuskannya untuk belajar di universiti tersebut bagi memperdalamkan ilmu pengetahuan demi memajukan umat Melayu pada peringkat awal menuju ke zaman moden. Semua mereka akhirnya itu telah menjadi tokoh-tokoh penting dalam perkembangan Islam dan bangsa Melayu di Dunia Melayu. Syeikh Ahmad al-Fatani tidak pernah mendapat kiriman wang daripada ayahandanya. Ini kerana beliau sendiri yang tidak mahu menyusahkan kedua ibubapanya disamping mahu hidup berdikari. Sungguhpun dihimpit kesusahan hidup di perantauan namun tiada apa yang dapat menggagalkannya dalam usaha menuntut ilmu. Ini terbukti apabila Syeikh Ahmad al-Fatani telah berjaya menyusun beberapa risalah ketika beliau menuntut di Masjid Jami’ al-Azhar. Semua karya tersebut adalah dalam bahasa Arab dan digubah dalam bentuk syair yang begitu indah. Antara risalahnya itu ada yang di salin dan dipelajari oleh pelajar-pelajar tingkat awal di Mesir dan negeri-negeri lain di Benua Afrika. Antara risalah –risalah tersebut ialah (Wan Shagir 2005: 53) : i- Jumanat al- Tauhid (1293 H/ 1876M) ii- Munjiat al-‘Awwam liManhaji al- Huda mina al- Zhalam (1293 H/ 1876 M ) iii- Unqud al- La’ali (1296 H/1879 M) iv- Manzumat al-Awamil (1296 H/ 1879 M) Ketika di Mesir juga Syeikh Ahmad al-Fatani mula terlibat dengan usaha mencetak dan mentashih kitab-kitab Melayu Jawi. Dengan anisiatif beliau maka sahabat beliau iaitu Syeikh Mustafa al-Babi al-Halabi telah banyak mencetak kitab-kitab Melayu Jawi yang sebelumnya hanya disalin dengan tulisan tangan. Setelah tujuh tahun menimba ilmu pengetahuan di Bumi Kinanah itu, beliau pun pulang ke Makkah. Dalam usia belum sampai 30 tahun beliau telah digelar sebagai Syeikh Ahmad al-Zaki Mesir (yang bijak dari Mesir) oleh orang-orang Melayu Makkah. Pada tahun kepulangannya itu juga, Syarif Hussin Raja Makkah mengadakan pertandingan dakwah dan pidato di Masjid al-Haram. Perkara yang menjadi perhatian pada pertandingan tersebut ialah nilai-nilai sastera atau balaghah dalam bahasa Arab. Banyak ulama’ Arab Makkah mengambil bahagian dan Syeikh Ahmad al-Fatani pun turut menyertainya. Pertandingan tersebut ternyata telah menyerlahkan kewibaan Syeikh Ahmad al-fatani. Beliau telah diumumkan sebagai juara pertandingan tersebut. Mulai peristiwa itu, nama beliau semakin dikenali oleh penduduk Makkah. Hasil daripada pertandingan tersebut juga beliau juga telah dilantik oleh Syarif Hussin sebagai ahli bahasa kerajaan. Tugas beliau ialah memeriksa surat-surat rasmi kerajaan yang penting-penting sebelum diposkan. Demikian juga beliau berperanan menggubah semua syair-syair yang hendak dijadikan sebagai syair rasmi kerajaan (Wan Shaghir 2005: 54-56). 3.4 GURUR-GURU, ULAMA’ SEZAMAN DAN MURID-MURIDNYA Antara guru-guru Syeikh Ahmad al-Fatani yang terkenal ialah ketika di Makkah dan Madinah: 1. Syeikh Umar al-Syami al Baqa’ie (1313 H) 2. Sayyid Hussein al-Habsyi (1330 H) 3. Syeikh Ahmad bin Zaini Dahlan (meninggal 1304 H) 4. Syeikh Hasbullah atau Muhammad bin Sulaiman (meninggal 1917 M) 5. Syeikh Muhammad Haqqi al-Nazili 6. Sayyid Muhammad Amin al-Ridhwan 7. Sayyid Muhammad Ali Bin Sayyid Zhahir al-Watri 8. Syeikh Abdul Qadir al-Syibli al-Tharablusi 9. Syeikh Ibrahim al-Rasyidi ( 1291 H) 10. Syeikh Ahmad al-Dandarawi (1327 H) 11. Syeikh Nik Dir al-Fatani atau nama penuhnya Abdul Qadir bin Abdul Rahman (meninggal 1898 M) 12. Syeikh Wan Muhammad Ali Kutan Bin Abdul Rahman al-Kelantani (meninggal 1913 M) 13. Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani atau nama sebenarnya Muhammad Bin Ismail (meninggal 1915 M) Sementara itu, antara guru beliau beliau yang terkenal ketika di Mesir ialah Syeikh Mustafa Afifi. Antara ulama’ Melayu yang sezaman dengan Syeikh Ahmad dan turut sama-sama mengajar di Masjid al-Haram Makkah ialah: 1. Syeikh Jamaluddin Bin Idris dari negeri Sembilan (meninggal 1305 H) 2. Syeikh abdul Rahman Bin Muhammad Ali berasal daripada Fatani (meninggal Ahmad Bin Mahmud 1915 M) 3. Syeikh Ahmad Khatib Bin Abdul Latif dariapada minangkabau(1916 M) 4. Syeikh Ahmad Bin Mahmud Yunus daripada Lingga 5. Syeikh Usman Bin Abdul Wahhab daripada Sarawak 6. Syeikh Usman Bin Shihabuddin daripada Pontianak, kalimantan. 7. Syeikh Abdul Salam Kampar, Sumatra. 8. Syeikh Khatib Kumango, Batu Sangkar, Sumatra. 9. Syeikh Abdul Mutallib Bin Tuan Abdullah Faqeh daripada Kelantan. Sebagai ulama’ besar Syeikh Ahmad al-Fatani merupakan mahaguru kepada ulama’ulama’ dan tokoh-tokoh besar yang bertebaran di serata pelusuk Asia Tenggara pada abad ke-19 dan 20 (Wan Shaghir 1992). Antara ulama’ yang lahir dari didikan rabbani Syeikh Ahmad al-Fatani ialah : 1. Dato’ Hj. Abdullah Bin Musa al-Kelantani, musti kerajaan Johor (M. 1916) 2. Hj. Wan Ishak Bin Imam Hj. Abdullah, Mufti Kerajaan Kelantan (M. 1915) 3. tuan Guru Hj Umar Bin Ismail , sungai Keladi. 4. Tok Kemuning iaitu Hj Ismail Bin Hj Senik (M 1934) 5. Tok Kenali atau nama sebenarnya Hj. Muhammad Yusuf Bin Ahmad, Guru pondok paling berpengaruh di Kelantan, merupakan anak murid kesayangan Syeikh Ahmad.(meninggal 1933) 6. Tok Selihong iaitu Hj Abdul Rahman Syairb Bin Hj. Usman (M. 1935) 7. Tok Padang Jelapang, Hj. Wan Ahmad Bin Hj. Abdul Halim. (M. 1935) 8. Hj. Wan Musa Bin Hj. Abdul Somad, mufti Kerajaan Kelantan (M. 1939) 9. Dato’ Hj. Muhammad Bin Dato’Hj. Muhammad Said Khatib, Setiausaha Kerajaan Kelantan (M.1939) 10. Tuan Guru Hj. Ismail Bin Hj. Mahmud (1941) 11. Tuan Guru Hj. Muhammad Soleh Bin Hj. Hasan 12. Hj. Wan Musa Bin Wan Ahmad, Imam rantau Panjang (M. 1942) 13. Hj. Ismail Bin Hj. Abdul Majid al-Kelantani, Mufti Kerajaan Pontianak (1950) 14. Tuan Guru Hj. Wan Abdullah Bin Ismail, Geting(M. 1952) 15. Tuan Guru Hj. Ismail Kecik Bin Abdul Wahhab, nering (1953) 16. tok Bacok, hj, Usman Bin Hj. Muhammad (1953) 17. Tok Raja, Hj. Ibrahim Bin Muhammad Yusuf, Mufti Kerajaan Kelantan. (1955) 18. Tok Pulau Ubi, Hj, Yususf Bin Abdul Rahman 19. Dato’ Hj. Nik Mahmud Bin Hj. Ismail Qadhi, Menteri Besar Kelantan selama suku abad (1964) 20. Tuan Guru Hj Said Bin Abdul Salam, besut Terengganu (1897) 21. Hj. Muhammad Said Bin Hj. Jamaluddin, Negeri Sembilan 22. Tengku Mahmud Zuhdi Bin Tengku Abdul Rahman al-Fatani, Syaikh al-Islam Kerajaan Selangor (1956) 23. Syeikh Wan Daud Bin Syeikh Mustafa al-Fatani, Makkah (1936) 24. Syeikh Wan Muhammad Nor Bin Syeikh Nik Mat Kecik al-Fatani, Makkah (1944) 25. Hj. Muhammad Saleh, Qadhi Kemboja. 26. Hj. Muhammad Jabbar Khatib Bin Hj. Muhammad Arif, Maharaja Imam Kerajaan Sambas, Kalimantan. 27. Syeikh Muhammad Saad Mongka, Paya Kumbuh, Sumatra (1339 H) 28. Maulana Syeikh Sulaiman al-Rusli, Condong, Bukit Tinggi, Sumatra (1970) 29. Syeikh Mustafa Husin, Purba, Mendahiling, Sumatra (1955) 30. Syeikh Hasanuddin Bin Syeikh Maksum, bergelar Imam Paduka Tuan, mufti Kerjaan Deli, Sumatra 31. Tuan Guru Hj. Wan Abdullah Bendang Gucil, Patani ( 1913) 32. Tuan Guru Hj. Cik Ibrahim Bin Musa, Bendang Gucil. 33. Tuan Guru Hj. Abdul Samad Bin Muhammad Saman, Jakar, Patani (1945) 34. Hj. Wan Harun Bin Hj. Wan Hasan, Qadhi Patani 35. Tok Kelapa, Hj. Muhammad Husin bin Abdul Latif, Kelapa Baris, Patani (1948) 36. Tuan Guru Pakcu Yeh, Hj. Idris Bin Abdul Karim, Kampung Tok Raja Haji, Patani (1935) 37. Tok Bermin, Hj. Wan Muhammad Bin Hj. Wan Idris, Bermin, Patani (1957) 38. Tuan Guru Hj. Wan Ahmad Faluan Bin Yususf, Nadi Tanjung, Fatani (1958) 3.5 KELEBIHAN SYEIKH AHMAD AL-FATANI Menyentuh kelebihan Syeikh Ahmad al-Fatani, Ahmad Fathi al-Fatani (2001) di dalam bukunya yang bertajuk “Ulama’ Besar dari Fatani” telah meletakkan nama Syeikh Ahmad al-Fatani di senarai yang ketiga daripada 25 orang tokoh yang diterjemahkan riwayat hidup mereka. Satu perkara yang menarik dan menggambarkan kehebatan Syeikh Ahmad ialah apabila Ahmad Fathi al-Fatani telah mengupas tentang keistemewaan Syeikh Ahmad yang tidak dilakukannya pada tokoh-tokoh lain. Ahmad Fathi telah menggariskan sembilan keistimewaan Syeikh ahmad al-Fatani. Pertama, ulama’ Melayu pertama yang merintis penyelidikan dalam bidang kimia. Kedua, ulama’ Melayu pertama yang belajar ilmu perubatan. Ketiga, pentashih kitab-kitab Melayu yang paling awal di percetakan Mesir, Makkah dan Istanbul. Keempat, pelopor penulisan sejarah yang jarang diterokai orang. Kelima, seorang yang dapat mengupas untaian syair-syair Arab lama setanding dengan kebolehan jaguh Arab sendiri. Keenam, seorang ulama’ siasah dan pejuang yang mengambil berat terhadap nasib bangsa Melayu. Ketujuh, merupakan antara segelintir ulama’ Melayu yang yang berkemampuan mengarang dalam bahasa Arab. Kelapan, berkebolehan mengajar 47 jenis ilmu dan yang kesembilan, beliau merupakan ulama’ Melayu pertama mengadakan soal jawab agama secara terbuka, lisan dan tulisan yang telah dibukukan dengan judul ”al-Fatawa al-Fataniah”. 3.6 SUMBANGAN TERHADAP PERKEMBANGAN ILMU Seperti yang telah dijelaskan, Syeikh Ahmad al-Fatani merupakan ulama’ yang sangat produktif dalam menghasilkan karya-karya ilmiah, sama ada hasil karangannya sendiri mahupun dalam bentuk usaha pentashihan dan pencetakan kitab-kitab. Jumlah sebenar karya yang dihasilkan Syeikh Ahmad al-Fatani belum dapat diketahui secara tepat . Menurut Wan Shaghir (2000:108-109), hal tersebut disebabkan sebahagian besar manuskrip beliau yang dipindahkan dari Makkah ke Kampung Jambu, Patani, telah dimusnahkan pada tahun 1970 oleh orang yang tak kenal nilai barang tersebut. Menurutnya lagi setakat ini karya Syeikh Ahmad al-Fatani yang ditemui ialah sebanyak 95 buah, 54 buah dalam bahasa Arab dan 41 buah dalam bahasa Melayu. Sebahagian kitab-kitab tersebut sudah dicetak dan sebahagiannya masih dalam bentuk manuskrip. Penglibatan Syeikh Ahmad al-fatani dalam penulisan bermula semenjak beliau diusia remaja. Karya pertamanya Nazam Nur al-Anam diusahakannya semenjak berusia 15 tahun. Karya-karya dimasa mudanya iaitu ketika beliau belajar di Bait al-Maqdis dan Mesir ditulisnya dalam bahasa Arab. Setelah tamat pengajian di Al-Azhar dan pulang ke Makkah barulah beliau mula menulis di dalam bahasa Melayu (wan Shaghir 1992:44). Kemampuan beliau menguasai dan mengajar 47 jenis ilmu sama ada ilmu agama dan ilmu dunia sepertimana dijelaskan oleh Tok Kenali dalam majalah Pengasuh bilangan 17, sudah cukup mengambarkan kehebatan ulama’ berdarah Melayu ini. Khazanah ilmu Syeikh Ahmad al-Fatani yang ditinggalkan dapat dilihat dalam beberapa bidang ilmu pengetahuan : 3.6.1- Ilmu Bahasa Arab dan Sastera Arab. Kemampuan dan kehebatan Syeikh Ahmad al-Fatani memang sudah masyhur sehinggakan kemasyhurannya dalam sastera dan bahasa Arab lebih menonjol berbanding ilmu-ilmu lain.. Jika tidak masakan beliau boleh dilantik sebagai Ahli Bahasa Kerajaan diusia yang masih muda. Selain itu beliau gelaran al-Adib (sasterawan) yang diberikan kepada beliau juga menjelaskan lagi ketokohan beliau dalam aspek sastera dan bahasa (lihat Wan Shaghir,2005:84-87), bahkan semenjak diusia 12 tahun beliau telah digelar Sibawaih Shaghir kerana kejayaannya yang luar biasa dalam ilmu nahu (Wan Shaghir,2005:93). Sumbangan Syeikh Ahmad al-Fatani dalam bidang bahasa Arab dapat dilihat melalui karya-karya beliau dalam bidang ini. Sebahagian karyanya seumpama kitab Tashil Naili al-Amani sudah terkenal di peringkat antarabangsa dan hingga ke hari ini masih diguna pakai. Karya beliau dalam bidang ini yang telah dicetak adalah seperti berikut: 1. Tashil Naili al-Amani. Siap ditulis pada tahun 1300 H /1882 M. Cetakan pertama diterbitkan oleh Mathbaah al-Bahiyyah di Mesir pada tahun 1301 H/ 1883 M. Kitab ini masih terus dicetak sehingga kini oleh pelbagai percetakan termasuk beberapa percetakan di Surabaya, Bandung, Singapura, Pulau Pinang, Patani, bangkok dan lain-lain. 2. Al-Ibriz al-Sarsi fi fanni al-Sarfi. Disiapkan pada 1308 H/ 1890 M. Kitab ini hanya sekali dicetak oleh United Press, Pulau Pinang. . 3. Ibniatu al-Asma’ wa al-Af’al. Karya ini telah dicetak oleh beberapa percetakan di Patani, Kelantan dan Bangkok. Percetakan kitab ini sentiasa digabungkan dengan cetakan kitab al-Risalah al-fataniah. 4. Matnu Dhammin wa Madkhal. Kitab ini pernah diterbitkan oleh al-Ahmadiah Press, Singapura dengan diletakkan nama Muhammad Shiddiq, Sapat, Inderagiri sebagai pengarangnya. Keadaan ini telah menimbulkan kekeliruan. Manuskrip asli kitab ini jauh lebih lengkap daripada yang pernah diterbitkan Edisi cetakan kitab ini sangat banyak, sama ada cetakan di Timur Tengah mahupun di Asia Tenggara. 5. al-Risalah al-Fataniah. Cetakan kitab ini juga sangat banyak dan masih gunakan di pusat pengajian sistem pondok di Kelantan, Kedah, Patani, bangkok dan Burma. 6. Tadriju al-Shibyan. Tanpa tahun, membicarakan ilmu balaghah. Pernah dicetak di Makkah dan Mesir. 7. Ilmu al-Isti’arah. Tanpa catatan tarikh. Cetakan pertama risalah ini diterbitkan oleh Mathba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah pada tahun 1325 H / 1907 M Selain itu, masih banyak khazanah berharga karya-karya Syeikh Ahmad al-Fatani dalam bidang bahasa Arab yang masih dalam bentuk manuskrip dan ada diantaranya yang tidak sempat disiapkan oleh beliau. Antaranya ialah : 1. al-Thimar al-Syahiyyah. Manuskrip ini membicarakan ilmu Nahu, diselesaikan penulisannya pada tahun 1294 H. 2. Syarh al-Thimar al-Syahiyyah. Manuskrip ini merupakan huraian terhadap kitab al-Thimar al-Syahiyyah di atas oleh Syeikh Ahmad al-Fatani sendiri. Namun karya ini tidak sempat disiapkan oleh beliau. 3. Manzumat al-Awamil. Manuskrip ini disiapkan penulisannya pada 1296 H/ 1879 M. Kitab ilmu nahu ini mengandungi 69 bait syair dan merupakan usaha Syeikh Ahmad al-Fatani merubah karya Syeikh Abdul Qahir al-Jurjani (meninggal 471 H) dari bentuk prosa kepada bentuk syair. 4. Ilmu al-Sarf. Disiapkan pada tahun 1317 H / 1899 M. Manuskrip ini antara khazanah ilmu yang telah dibuang ke sungai Jambu tetapi telah sempat diselamatkan. 5. Syarah Matni al-Fataniah. Menurut Wan Shaghir, manuskrip asli kitab beliau temui pada tahun 2004 M di rumah Syeikh Wan Ibrahim Bin Wan Abdul Qadir iaitu sepupu kepada Syeikh Ahmad al-Fatani. Karya ini tidak sempat disiapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fatani, dan keadaan manuskrip ini juga sudah tidak elok. 6. ’Unqudu al-La-aali. Karya ini mengenai ilmu Nahu yang digubah dalam bentuk 98 bait syair. Karya dalam bentuk manuskrip asli ini telah diselesaikan pada tahun 1296 H / 1879 M. 3.6.2- Ilmu berkaitan al-Quran Ilmu berkaitan al-Quran ialah seumpama ilmu Tafsir,Ilmu Asbab Nuzul, Ilmu Rijal al-Tafsir, Ilmu Tajwid, Ilmu Qiraat, Ilmu Fadhail ayat al-Quran dan lain-lain yang bersangkutan dengan kitab suci itu. Syeikh Ahmad al-fatani, sebagai ulama’ besar telah memberikan sumbangan yang besar dalam mengajar dan memperkembangkan ilmu-ilmu tersebut. Ada diantara bidang ilmu al-Quran yang sempat beliau tulis dan ada yang beliau tashihkan. Di dalam bidang tafsir al-Quran, keterlibatan dan sumbangan Syeikh Ahmad al-fatani dapat dibuktikan dengan munculnya kitab Turjuman al-Mustafid atau lebih dikenali dengan Tafsir Baidhawi Melayu. Kitab ini merupakan karangan Syeikh Abdul Rauf Bin Ali al-Fansuri, dan dikatakan kitab ini merupakan terjemahan dan tafsir al-Quran yang pertama sekali dalam bahasa Melayu. Pentashih pertama kitab ini ialah Syeikh Ahmad al-Fatani, dan di atas usaha beliaulah kitab ini dapat diterbitkan. Selain mentashih Syeikh Ahmad al-fatani juga pernah menyusun kita terjemahan dan tafsir al-Quran, namun sayangnya dipercayai bahawa manuskrip karya beliau itu telah dibuang ke Sungai Jambu pada tahun 1970. Dalam ilmu Tajwid pula, Syeikh Ahmad pernah menyusunnya tetapi hanya dalam bentuk manuskrip yang tidak lengkap. Selain itu terdapat dua buah kitab tajwid yang beliau tashihkan iaitu kitab al-Mawahib al-Makkiyah, karangan Syeikh Abdul Qadir Bin Abdul Rahman al-Fatani dan kitab Maurid al-Zaman, karangan Syeikh Abdukllah Bin Qasim Senggora. Pada kedua-dua kitab tersebut terdapat syair gubahan Syeikh Ahmad al-Fatani di dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. 3.6.3- Ilmu berkaitan Hadis Sepertimana al-Quran yang mempunyai kepelbagaian ilmu yang berkaitan dengannya demikian juga keadaannya dengan Hadis. Antara disiplin ilmu yang berkaitan dengan Hadis ialah ilmu Mushthalah Hadis, Ilmu Dirayah Hadis dan Ilmu Rijal Hadis. Syeikh Ahmad al-fatani selain penghafal Hadis dalam jumlah yang banyak, beliau juga telah khatam pengajian ilmu-ilmu Hadis terutama kitab-kitab karangan ulama’ Ahlu Sunnah. (wan Shaghir,2005,jld 2:228) Sumbangan Syeikh Ahmad al-Fatani dalam ilmu Hadis pula dapat dilihat menerusi beberapa karya dan usaha pentashihan yang beliau lakukan. Kitab beliau yang pernah dicetak dalam bidang ini ialah Bisyarat al-’Amilin wa Nazarat al-Ghafilin iaitu sebuah kitab Hadis dalam bahasa Melayu. Beliau juga ada menyusun sebuah lagi kitab dalam bahasa Arab, namun kitab tersebut masih dalam bentuk manuskrip. Selain itu, dalam karya beliau Hadiqat al-Azhar wa al-rayyahin juga banyak terdapat Hadis dan terjemahannya. Disamping menulis beliau juga melakukan pentashihan terhadap beberapa buah kitab yang membicarakan ilmu Hadis dalam bahasa Melayu. Terdapat tiga buah kitab yang telah dikenal pasti ditashih oleh beliau iaitu Kitab Kashfu al-Ghummah karya Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fatani, al-Jauhar al-Mauhub karya Syeikh Wan Ali Bin Abdul Rahman Kutan al-Kelantani, dan al-Kaukab al-Durri karya Syeikh Muhammad Bin Ismail al-Fatani. 3.6.4- Ilmu Feqah Dalam ilmu Feqah pula sekurang-kurangnya 3 judul kitab Feqah dalam bahasa Melayu karangan Syeikh Ahmad al-Fatani yang telah diterbitkan dan sebuah dalam bahasa Arab yang tidak sempat diterbitkan. Kitab-kitab tersebut ialah, al-Bahjat al-Mubtadin wa Farhatu al-Mujtadin, tahun 1310 H/ 1893 M, Unwanu al-Falah wa ”unfawan al-Shalah, tahun 1319 H/1902 M, dan al-Fatawa al-Fataniah. Syeikh Ahmad al-Fatani juga terlibat Fiqh Nusantara sebagai pentashih pertama dan penyebar kitab-kitab feqah yang dikarang oleh para ulama’ sebelumnya. Antara kitab-kitab yang ditashihkan oleh beliau ialah, al-Shiratu al-Mustaqim, Sabil al-Muhtadin, Furu’ al-Masail, Mir-atuth al-Thalibin, Sullamu al-Mubtadi, Fathu al-Mannan, al-Jawahir al-Saniyyah, Mathla’u al-Badrain dan Kasyfu al-Litsam. Selain yang tersebut, terdapat juga sebuah kitab feqah bahasa Arab yang terkenal di seluruh dunia iaitu kitab I’anat al-Thalibin karangan Sayyid Abu Bakri Syatha (meninggal 1892 M) juga ditashihkan oleh Syeikh Ahmad al-Fatani. 3.6.5- Ilmu Matematik dan Falak Antara kelebihan ulama’ berdarah Melayu ini, ialah kemampuan beliau yang tinggi dalam pelbagai disiplin ilmu. Antara ilmu yang tidak terlepas daripada genggaman beliau ialah ilmu Hisab atau Matematik dan Falak. Keterlibatan Syeikh Ahmad al-Fatani dalam ilmu matematik dapat dilihat dalam kitab beliau al-Fatawa al-Fataniyah dan usaha penerbitan dan pentashihan kitab Matnu al-Sakhawiyyah fi Ilmi al-Hisab karya Syeikh Abdul Qadir al-Sakhawi. Kitab tersebut telah diterbitkan pada tahun 1304 H / 1886 M. Selain itu beliau juga telah menyusun satu syarah kepada kitab Matan Sakhawi yang disiapkan pada tahun 1304 H / 1886 M. Semua karya tersebut adalah di dalam bahasa Arab. Selain ilmu matematik biasa, terdapat juga ilmu matematik yang sangat erat hubungannya dengan ilmu Falak. Bidang ini lebih banyak diberi tumpuan oleh beliau berbanding ilmu matematik biasa. Pada tahun 1305 H/ 1887 M Syeikh Ahmad al-Fatani telah mentahqiqkan kitab Wasilat al-Tullab li Ma’rifati A’mal al-Lail wa al-Nahar bi Thariq al-Hisab karya Syeikh al-Khaththab. Pada tahun 1313 H / 1895 M pula beliau telah mentahqiqkan kitab Ghayat al-Idrak fi al-A’mal bi Kurat al-Aflak. Menurut Wan Shaghir (2005) karya terbesar Syeikh Ahmad al-Fatani mengenai ilmu Falak berjudul al-Rubu’ al-Mujayyab tetapi tidak sempat disiapkan. Keilmuan mendalam Syeikh Ahmad al-Fatani dalam ilmu Hisab dan Falak telah memberi kesan yang besar kepada dunia Melayu dalam perkembangan ilmu Hisab dan Falak khususnya pada penghujung abad ke-19 dan awal abad ke-20 Masihi. Beberapa orang anak murid beliau memainkan peranan penting dalam memperkasakan ilmu ini di Alam Melayu. Antara mereka yang terkenal ialah Syeikh Abdul Rahman Gudang al-Fatani, Syeikh Muhammad Nur al-Fatani, Haji Umar Bin Ismail Nuruddin Kelantan, Syeikh Tahir Jajaluddin al-Azhari al-Falaki, Syeikh Jamil Jambek, Haji Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang dan ramai lagi (Wan Shaghir, 2005). 3.6.6- Ilmu Perubatan Seperti yang telah dinyatakan, Syeikh Ahmad al-Fatani telah mendapat pendidikan khusus dalam bidang kedoktoran daripada Syeikh Abdul Rahim al-Kabuli, yang merupakan seorang doktor atau thabib yang berasal dari Kabul, Afghanistan. Bukan sekadar itu, bahkan Syeikh Ahmad al-Fatani juga telah terlibat secara lansung sebagai pengamal perubatan. Menurut Wan Shaghir (2005), Syeikh Ahmad al-Fatani dikenali oleh beberapa orang doktor di Mesir pada zaman itu, di mana telah ditemui beberapa pucuk surat yang dikirim oleh doktor-doktor dari Mesir kepada Syeikh Ahmad al-Fatani di Makkah yang meminta beliau bekerjasama dengan mereka untuk membuat penelitian terhadap pelbagai jenis ubat-ubatan yang baru diperkenalkan. Terdapat dua buah karya Syeikh Ahmad al-Fatani dalam bidang ilmu perubatan. Salah satunya dalam bahasa Melayu yang berjudul Thaiyib al-Ihsan fi Thibb al-Insan, yang telah siap disusun pada 1312 H / 1894 M. Selain itu, terdapat beberapa halaman dalam kitab beliau, Hadiqat al-Azhar dan Luqthah al-’Ajlan yang menyentuh tentang perubatan (Wan Shaghir,2005,Jld 2:179). 3.6.7- Ilmu Sejarah Syeikh Ahmad al-Fatani dapat diklasifikasikan sebagai golongan ulama’ pertama daripada dunia Melayu yang menulis dalam pelbagai aspek sejarah sama ada dalam konteks tamadun Islam mahupun dalam konteks sejarah Melayu. Dalam bidang sirah Nabi beliau telah menghasilkan 3 buah karya, salah satu daripadanya dalam bentuk puisi Arab yang berjudul al-Lum’ah al-Nuraniyah wa Nafahat al-Miskiyah. 2 lagi dalam bahasa Melayu namun satu darinya dalam bentuk prosa dan satu lagi dalam bentuk puisi. Yang dalam bentuk prosa disiapkan pada tahun 1307 H/ 1889 M dengan judul Badr al-Tamam wa al-Nujum al-Tsawaqib. Kitab ini telah diulang cetak beberapa kali. Adapun sirah Nabi dalam bentuk puisi Melayu pula masih dalam bentuk manuskrip dan merupakan karya beliau yang pertama sekali iaitu ketika beliau berusia 15 tahun. Selain menulis tentang sirah Nabi, Syeikh Ahmad al-Fatani juga menulis tentang biografi imam mujtahid yang empat, biografi para wali Allah dan sejarah perkembangan Islam di Hindia-Belanda (Indonesia) yang dimuatkan di dalam kitab Hadiqat al-Azhar. Selain sejarah dan tamadun Islam, di dalam kitab tersebut juga dimuatkan sejarah yang menyentuh asal usul Bugis –Melayu, juga beberapa pemikiran sejarah dalam bentuk prosa dan puisi. Disamping itu, beliau juga menulis tentang sejarah Turki Uthmaniah dan kitab tersebut pernah dicetak bersama kitab Hadiqat al-Azhar. Selain yang disebutkan Syeikh Ahmad al-Fatani juga dikatakan pernah mengarang tentang sejarah Patani yang lengkap dengan diberikan judul Fadhilah Ahmad al-Fatani, namun menurut Wan Shaghir karya tersebut belum ditemui. 3.7 SUMBANGAN TERHADAP PERKEMBANGAN ILMU KALAM DI ASIA TENGGARA Para ulama’ Nusantara amat menitik beratkan ilmu berkaitan aqidah. Selain menyampaikan dakwah melalui pengajaran di madrasah-madrasah ataupun di masjid dan surau, mereka juga giat membukukannya agar aqidah yang benar terpelihara dan terus dapat dikembangkan. Terdapat banyak karya para ulama’ Melayu yang menyentuh aspek aqidah ini. Ada yang disusun dalam bentuk yang ringkas dan ada membahaskannya dengan panjang lebar. Karya pertama yang ditemui ialah terjemahan kitab al-Aqa’id al-Nasafi” karangan asal Umar Najm al-Din al-Nasafi. Karya terjemahan ini tidak diketahui penterjemahnya, dilakukan pada 998 H / 1590 M. Kitab ini telah diperkenalkan buat pertama kalinya oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan buku yang diberi judul The Oldest Known Malay Manuscript A 16Th Malay Translatration Of The ‘Aqaid al-Nasafi’ (1988). (Syafie Abu Bakar,2000:hlm 410). Selepas itu, muncul pula karya berjudul Ilmu Tauhid yang ditulis oleh Ahmad Bin Aminuddin al-Qadhi Kedah, pada tahun 1032 H ? 1622 M. Lapan tahun selepas itu, lahir pula Karya Syeikh Nuruddin al-Raniri yang bertajuk Duraru al-Faraid bi Syarhi al-‘Aqaid yang disiapkan pada tahun 1040 H/ 1630 M. Selepas itu Syeikh Syihabuddin al-Haji Bin Abdullah al-Jawi pula menyusun sebuah lagi kitab dengan diberi tajuk Syarh ‘Aqaidi al-Iman yang diselesaikan pada tahun 1162H / 1748 M. Selanjutnya pada tahun 1170 H / 1756 M. muncul pula karya Syeikh Muhammad Zain Bin Faqeh Jalaluddin Aceh dengan judul Bidayat al-Hidayah . Kitab ini telah dicetak di beberapa percetakan dengan di tashihkan oleh oleh Syeikh ahmad al-Fatani. Atas usaha beliau maka kitab tersebut telah tersebar ke serata Nusantara dan sehingga sekarang masih terdapat di pasaran kitab. Kitab-kitab sebelum kitab Bidayat al-Hidayah seperti yang telah disebutkan sudah tidak terdapat di pasaran, maka dengan sebab itu boleh dikatakan bahawa kitab Bidayat al-Hidayah adalah kitab aqidah dalam bahasa Melayu tertua yang masih wujud. Selepas kecemerlangan kitab Bidayat al-Hidayah, lahirlah nama-nama besar dalam arena persuratan aqidah di Alam Melayu. Antara mereka ialah Syeikh Abdul Samad al-Palembangai dengan kitabnya Zahrat al-Murid fi Bayani Kalimat al-Tauhid yang disiapkan pada tahun1178 H / 1764 M. Sepuluh tahun selepas itu muncul pula Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dengan judul kitabnya Tuhfat al-Raghibin fi Bayani Haqiqat Iman al-Mukminin, tahun 1188 H / 1774 M. Ulama’ yang paling produktif dalam penghasilan karya dalam bidang ini ialah Syeikh Daud Bin Abdullah al-Fatani dengan sekurang-kurang 7 karya telah dihasilkan iaitu ; 1- Kifayat al-Mubtadi wa Irsyadu al-Muhtadi, tanpa tarikh. 2- Risalat Ta’alluqi bi Kalimat al-Iman 3- Dhiaul al-Murid, tanpa dinyatakan tahun. 4- Al-durr al-Tsamin, tahun 1232 H / 1817 M. 5- Wardu al-Zawahir, tahun 1245 H / 1831 H. 6- Al-Bahjat al-Wardiyah, tahun 1259 H / 1845 M. 7- Al-Bahjah al-Saniyah fi al-’Aqidah al-Sunniah, tahun 1258 H / 1844 M. Selain kitab-kitab tauhid yang disusun khas seperti di atas, Syeikh Daud al-Fatani juga menulis ilmu ini pada bahagian awal kitab-kitab feqahnya iaitu kitab Hidayat al-Muta’allim, al-Jawahir al-Saniyyah, Sullamu al-Mubtadi, Fathu al-Mannan dan Furu’ al-Masail. Selain Syeikh Daud al-Fatani terdapat beberapa orang lagi tokoh dalam bidang ini seperti Syeikh Abdul Rahman Siddiq Bin Muhammad Afif, Mufti kerajaan Inderagiri, Sumatera, dengan kitabnya Fathu al-’Alim, juga Syeikh Zainal Abidin Bin Muhammad al-Fatani dengan kitabnya ’Aqidat al-Najin, tahun 1308 H / 1890 M. Disamping itu tidak ketinggalan Syeikh Zainuddin Bin Muhammad Badawi dengan kitabnya Siraj al-Huda. Tokoh kedua yang banyak berkarya dalam bidang ini selepas Syeikh Daud al-Fatani ialah Syeikh Ahmad al-Fatani dengan menghasilkan sekurang-kurangnya 7 buah kitab. Sinopsis ringkas kitab-kitab tersebut adalah seperti berikut iaitu : 1- Jumantut Tauhid, diselesaikan Masjid Al-Azhar, Mesir tahun 1293 H /1876 M 2- Munjiatul ‘Awwam li Manhajil Huda minaz Zhalam, diselesaikan di Masjid Al-Azhar, Mesir, tahun 1293 H / 1876 M 3- Minhajus Salam fi Syarhi Hidayatul ‘Awwam, diselesaikan di Makkah, tahun 1306 H / 1888 M 4- ‘Iqdul Juman fi ‘Aqidatil Iman, diselesaikan di Makkah , 1306 H / 1888 5- Risalah Kecil Sifat Dua Puluh, 1321 H / 1895 M 6- Faridatul Faraid fi ‘Ilmil ‘Aqaid , diselesaikan di Makkah, 1313 H / 1895 M 7- An-Nurul Mubin , diselesaikan di Makkah, tanpa tarikh. Selain karya khusus seperti yang dinyatakan, terdapat juga karya tauhid beliau yang disisip pada bahagian awal kitab-kitabnya yang lain seumpama pada kitab al-Bahjatu Mubtadin dan ‘Unwanu al-Falah. Disamping itu terdapat juga penjelasan yang panjang mengenai aqidah yang dimuat pada bahagian awal al-Fatawa al-Fataniah, juga pada Hadiqat al-Azhar. Selain itu, tulisan beliau juga terdapat pada kitab-kitab aqidah yang ditashihkannya, di antaranya di bahagian tepi kitab Bidayat al-Hidayah karangan Syeikh Muhammad Zain Bin Faqeh Jalaluddin Aceh dan pada al-Durr al-Tsamin karangan Syeikh Daud al-Fatani. Selain menulis dan mengajar bidang ilmu kalam ini, Syeikh Ahmad al-Fatani juga memainkan peranan yang sangat besar terhadap penyebaran kitab-kitab aqidah yang di karang oleh para ulama’ sebelumnya, mahupun sezaman dengannya. Bermula dengan kitab Bidayat al-Hidayah karangan Syeikh Muhammad Zain Bin Faqeh Jalaluddin Aceh hingga karya Syeikh Daud al-Fatani semuanya ditashih dan diusahakan percetakannya oleh Syeikh Ahmad al-Fatani.(Wan Shaghir,2001) Dengan penjelasan di atas, dapat dirumuskan bahawa Syeikh Ahmad al-Fatani merupakan tokoh terbesar dalam penyebaran ilmu Islam di Nusantara. 3.8 PERJUANGAN DI PERINGKAT ANTARABANGSA Sumbangan pemikiran Syeikh Ahmad al-Fatani tidak terbatas pada dunia Melayu sahaja malah sumbangan dan jasanya menjangkaui dunia Islam keseluruhannya. Perkara ini dapat dibuktikan dengan beberapa siri perjuangan dan pemikiran yang dilakukan semasa hidupnya. Secara ringkasnya siri perjuangan tersebut dapat dinyatakan dalam 4 perkara; 3.8.1 Menyebarkan keilmuan Islam melaui media cetak Sebelum zaman hidupnya Syeikh Ahmad al-Fatani, media cetak dunia Melayu hanya menggunakan huruf batu (litografi). Naskhah yang diterbitkan pula berkisar kepada syair dan hikayat. Kitab-kitab hukum hakam Islam seperti fiqh, tauhid, tasauf dan ilmu-ilmu lain, hampir-hampir tidak dipedulikan. Keadaan yang sama berlaku di dunia Islam yang lain. Dalam tahun 1871 Masihi Syeikh Ahmad al-Fatani yang ketika itu berusia 16 tahun mulai menyedari perkara itu setelah beliau menemui beberapa kitab yang diterbitkan tidak sesempurna tulisan tangan aslinya. Timbullah aspirasi daripada beliau untuk membuat penelitian terhadap naskhah secara mendalam. Kitab-kitab yang telah ditelitinya sama ada dalam bahasa Arab mahupun Melayu di bawanya pergi ke Mesir pada tahun 1876 Masihi .Di Mesir beliau mengemukakan ideanya kepada sahabatnya Syeikh Mustafa al-Baby al-Halaby, seorang saudagar Arab yang memiliki mesin cetak, namun hanya naskhah dalam bahasa Arab yang dipersetujui oleh Syeikh Mustafa al-Halaby. Maka Syeikh Ahmad al-Fatani pun mula bekerjasama dengan Syeikh Mustafa al-Halabiy dalam membuat penelitian terhadap kitab-kitab Arab yang akan diterbitkan. Kitab-kitab Melayu pula, Syeikh Ahmad al-Fatani mendapat modal daripada al-Amjad al-Kasmiri Fida Muhammad dan anaknya Abdul Ghani, seorang India yang beragama Islam di Mesir. Ketika inilah Syeikh Ahmad al-Fatani mencipta satu istilah ” tashih” dan ”taslih”. Kitab Melayu pertama yang ditashihkannya ialah Hidayat al-Salikin, karya Syeikh Abdul Somad al-Falembani yang dicetak oleh Matba’ah Syeikh Hasan al-Tukhi yang terletak berhampiran Masjid Jamik al-Azhar. Sementara itu di Makkah, Syarif Makkah melarang kemasukan kitab-kitab selain bahasa Arab di Makkah dan Madinah. Keadaan ini menyebabkan Syeikh Ahmad al-Fatani mengirim surat protes kepada Sultan Abdul Hamid Khan Tsani, Sultan Turki Usmaniah yang berkuasa pada ketika itu. Syeikh Ahmad al-Fatani memahami strategi dan situasi politik pada ketika itu, di mana Syarif Makkah pada ketika itu adalah di bawah panji-panji kesultanan Turki Usmaniah. Di samping itu, beliau juga bercita-cita untuk mengadap Sultan Turki Usmaniah untuk membuat perbincangan. Namun, sebelum itu, beliau terlebih dahulu membuat pengembaraan ke merata tempat di Timur tengah dan Eropah untuk mempelajari teknologi terkini mesin cetak. Dengan takdir Allah S.W.T. Syeikh Ahmad al-Fatani diundang bertemu mengadap Sultan Abdul Hamid Khan Tsani dan segala pandanganya dikemukan kepada baginda. Dengan hujah-hujah yang mantap akhirnya Sultan Abdul Hamid khan menerima pemikiran Syeikh Ahmad dan beliau telah dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Pengadaan Percetakan kerajaan Turki Uthmaniah ( Matb’ah al-Amiriyah) Turki-Uthmaniah. Akhirnya, tiga buah percetakan kerajaan Turki diwujudkan iaitu di Istanbul, Kaherah dan Makkah. Pada awalnya ketiga-tiga percetakan tersebut di namakan Matba’ah al-Amiriyah, akhirnya disingkatkan dengan nama Matba’ah al-Miriyah sahaja. Setelah setahun Syeikh Ahmad al-Fatani bertugas di Istanbul, beliau bertugas pula di Matba’ah al-Miriyah al-Kainah bi Bulaq, Mesir, sebagai Ketua Tashih Matba’ah yang berperanan melakukan tashih terhadap kitab-kitab Arab dan Melayu. Selepas itu, pada tahun 1882 Masihi barulah Syeikh Ahmad al-Fatani berpindah ke Makkah menjadi Ketua Tashih di Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Makkah al-Musyarrafah. Setelah di Makkah barulah beliau membahagikan tugas tashih kepada beberapa bahagian. Bahagian Bahasa Melayu yang menggunakan tulisan Jawi ditugaskan kepada dua orang muridnya iaitu Syeikh Daud Bin Ismail al-Fatani dan Syeikh Idris Bin Hussein al-Kelantani. Untuk menyemak karya yang berasal dari Aceh ditugaskan kepada Syeikh Ismail Bin Abdul Mutallib al-Asyi, bahgian jawa pula diserahkan kepada Syeikh Abdul Hamid Kudus dan bahagian Bugis diserahkan kepada Syeikh Muhammad Amin Bugis. Sekitar tahun 1882 Masihi hingga 1889 Masihi Syeikh Ahmad al-Fatani sering berulang alik antara Mesir, Makkah, Istanbul dan dua kali mengunjungi Bombay, Cam, Patani, Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan Riau. Kitab-kitab yang dicetak dengan permodalan Kerajaan Turki Uthmaniah disebarkan secara besar-besaran ke seluruh dunia Islam. Selain itu Syeikh Ahmad al-Fatani juga merancang Memperkembangkan media cetak itu di dunia Melayu, dengan tujuan mencetak karya-karya yang dihasilkan oleh para ulama’ dan intelektual Melayu sendiri. Beliau telah melantik beberapa muridnya sebagai perintis ke arah itu. Di Kelantan beliau melantik Syeikh Daud Bin Ismail al-Fatani dan percetakannya dinamakan Matba’ah al-Miriyah al-Kalantaniyah yang terletak di Kota Bharu. Raja Ali Kelana pula ditugaskan di Riau dengan nama percetakan Matba’ah al-Miriyah al-Ahmadiyah atau lebih dikenali Matba’ah Ahmadiyah. Selain itu dinamakan juga Matba’ah al-Miriyah al-Riyauwiyah atau lebih dikenali Matba’ah Riyauwiyah. Matba’ah di Riau ini kemudiannya dilanjutkan dengan penubuhan Matba’ah al-Usrah di Singapura. 3.8.2 Memperjuangkan kemerdekaan Bangsa Melayu. Selain seorang ulama’ yang menjadi pelupor di arena percetakan, Syeikh Ahmad al-Fatani juga merupakan seorang pejuang kemerdekaan. Semenjak diusia muda beliau telah menjadi penggerak gerakan memperjuangkan kemerdekaan umat Islam dari penjajahan bangsa penjajah. Pada tahun 1290 H / 1873 M beliau telah mengasaskan Jam’iyatu al-Fatanah dan ianya berlanjutan hingga ke hari tuanya. Ahli- ahli organisasi tersebut terdiri daripada semua ulama’ dan pelajar yang berasal dari dunia Melayu yang berada di Makkah ketika itu. Organisasi tersebut, selain memperjuangkan bahan-bahan percetakan, turut mempunyai pusat jualan buku di Makkah dan lain-lain, sekaligus mengkaderkan para pelajar Melayu di Makkah ke arah pembebasan tanah air dari cengkaman penjajah. Syeikh Ahmad al-Fatani berulang kali meminta bantuan kerajaan Turki Uthmaniah disambing beliau memperkenalkan beberapa orang muridnya. Diantara mereka yang dikaderkan khusus untuk dunia diplomatik ialah Raja Ali Kelana yang berasal dari Riau. Pengaruh Jam’iyat al-Fatanah yang diasaskan oleh Syeikh Ahmad al-Fatani di Makkah itu telah memberikan ilham dan kepandaian dalam pengurusan berorganisasi kepada murid-muridnya. Kesan daripada tarbiah tersebut lahirlah pelbagai organisai di Tanah Melayu yang dibangunkan oleh murid-muridnya. Antara yang terawal ialah penubuhan Rusydiyah Klab tahun 1880 Masihi dan Jam’iyat al-Khairiyah di Riau. Sementara itu pelajar-pelajar Melayu di Mesir menubuhkan al-Jam’iyyat al-Khairiyah Fi Talabah al-Azhariyah al-Jawiyyah pada tahun 1923 Masihi. Di Indonesia, tertubuhnya Nahdhatu al-Ulama’ yang merupakan organisasi Islam terbesar di Indonesia hingga ke hari ini, yang dipolupori K.H Hasyim Asya’ari, juga merupakan murid kepada Syeikh Ahmad al-Fatani. Seorang lagi murid beliau K.H. Sulaiman Rasuli dan kawan-kawannya telah menubuhkan Persatuan Tarbiah Islamiah, yang pernah menjadi parti politik Islam di Indonesia. Selain itu, murid-murid Syeikh Ahmad al-Fatani yang berada di Kelantan seperti Tok Kenali, Nik Mahmud Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan dan lain-lain merupakan pengasas kepada tertubuhnya Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. 3.8.3 Mewakili ulama’ Makkah demi kepentingan Islam. Syeikh Ahmad al-Fatani telah diiktiraf sebagai ulama’ besar di Makkah pada zamannya. Status ini secara tidak lansung, telah menggolongkan beliau dalam senarai golongan ulama’ besar di peringkat antarabangsa. Perkara ini dapat dibuktikan dimana Syeikh Ahmad al-Fatani sentiasa menjadi wakil dalam setiap persidangan ulama’ yang diadakan sama ada di Istanbul, Turki dan lain-lainnya. Antara peristiwa terpenting ialah kepercayaan yang diberikan kepada beliau mewakili ulama Makkah untuk bertemu dengan Syeikh Muhammad Abduh di Mesir dan Saiyid Muhammad Yusuf al-Nabhani di Beirut bagi mencari titik perdamaian dalam pertikaian khilafiah antara mereka berdua. Dalam deligasi tersebut, Syeikh Ahmad al-Fatani membawa beberapa orang muridnya di antaranya To Kenali. 3.8.4 Orang kepercayaan Kerajaan Turki Usmaniyyah. Selain diberi kepercayaan sebagai pengelola dan perancang kerja-kerja percetakan dan penerbitan kerajaan Turki Usmaniyyah yang telah disebutkan, Syeikh Ahmad al-Fatani juga telah dilantik sebagai Tokoh Bahasa dan Sastera Arab Kerajaan Turki Usmaniyyah di Hijaz dan Penasihat Syarif atau Raja Makkah. Perlantikan dilakukan serentak dengan dikurniakan anugerah sebagai rakyat Turki Uthmiyah pada 28 Rejab 1307 H / 1889 Masihi, demi memudahkan urusan-urusan pentadbiran dan politik. Selain itu, berdasarkan isi kandungan surat-surat timbal balik antara Syeikh Ahmad al-Fatani dengan beberapa sultan di dunia Melayu, dapatlah disimpulkan pula bahawa beliau juga merupakan penasihat kepada sultan –sultan Melayu, walaupun tidak rasmi seperti yang berlaku dengan kerajaan turki Usmaniyyah. Di antara surat-surat yang telah di temui seperti surat dari Raja Kelantan, yang menyentuh berkenaan Tariqat Ahmadiyah, surat Raja Muda Jambu, mengenai campur tangan kerajaan Siam di Negeri Jerim, dan surat kepada Sultan Zainal Abidin III, mengenai isu bahasa Melayu, tamadun Islam, perundangan dan lain-lain lagi (Wan Shaghir,1995, kertas kerja:seminar antarabangsa kesusateraan Melayu IV). 3.9 Rumusan Berdasarkan keterangan yang telah diberikan dapatlah disimpulkan bahawa Syeikh Ahmad al-Fatani sememangnya seorang ulama’ Islam yang ulung dan berjasa besar dalam menyampaikan risalah Islam. Ulama, berdarah Melayu dari Negeri Fatani ini sepatutnya menjadi inspirasi kepada anak-anak Melayu yang lain bahawa mereka juga boleh setanding dengan bangsa-bangsa lain, menjadi ilmuan dan tokoh dipersada antarabangsa. Kehebatan beliau bukanlah datang bergolek, tetapi dengan kecekalan dan kesabaran yang tidak putus disamping keberkatan doa yang tulus daripada orang-orang tuanya. Kita juga dapat melihat bagaimana untuk melahirkan insan berjiwa hebat seperti Syeikh Ahmad al-Fatani bermula dengan keturunan yang hebat-hebat dan mulia juga. Perkara ini bukanlah suatu yang aneh, bahkan ia merupakan sunnatu Allah . Lihat sahaja junjungan besar Nabi Muhammad SAW dilahirkan dari susur galur yang terbaik dan termulia. Berkat ketaqwaan si bapa atau si datuk, sedikit sebanyak akan mencurah kepada keturunannya, dan perkara ini kita dapat lihat dengan jelas pada sejarah hidup Syeikh Ahmad al-Fatani. Selain yang disebutkan, pembinaan insan bertaraf ulama’ seperti Syeikh Ahmad al-Fatani bermula semenjak ubun-ubunnya masih lembut. Semenjak awal beliau telah didedahkan dengan al-Quran dan ilmu-ilmu alat yang lain yang menjadi teras dan asas kepada penguasaan ilmu-ilmu lain. Disamping itu, pendampingan beliau dengan guru-guru yang mursyid telah memberi kesan mendalam tehadap pembentukan peribadi luhur serta ilmu yang berkesan. Ulama’ yang sebenar bukanlah yang hanya pandai mengajar kitab dan mengetahui selok belok hukum hakam. Ulama’ yang sebenar ialah mereka yang mampu menghidupkan ummah dengan ilmu dan ketaqwaan, mampu merongkai permasalahan dan delema ummah, memimpin manusia dicelah-celah ranjau dunia yang berliku menuju petujuk ilahi. Perkara ini hanya mampu dilakukan oleh mereka yang benar-benar tulus hubungannya dengan Allah disamping mempunyai pengalaman dan pengetahuan meluas tentang dunia yang melingkunginya. Pengalaman dan pengetahuan Syeikh Ahmad al-Fatani yang meluas melalui pengembaraannya menuntut ilmu barangkali telah membentuk dimensi yang baru terhadap masa depan umat Islam khususnya bangsa Melayu. Jauh perjalanan luas pandangan apatah lagi kerana mencari ilmu pengetahun, telah membentuk personaliti dan pemikiran yang mampan. Mudah-mudahan kejayaan Syeikh Ahmad al-Fatani dalam mendidik dan mengembangkan ilmu Islam dapat dijadikan tauladan dan inspirasi kepada generasi alaf baru ini untuk terus menyambung bakti, menyampaikan rislah Islam.